Kehadiran pemimpin Pas di PAU perkukuh kerjasama berteraskan Melayu – Idris

KEHADIRAN wakil Pas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di ibu negara hari ini merupakan kunjungan balas atas kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Muktamar Pas yang diadakan minggu lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kedatangan beliau dan beberapa pemimpin parti di PAU hari ini menunjukkan bagaimana kerjasama dua parti politik itu terjalin.

“Alhamdulillah kehadiran kami ni ialah wakil yang orang panggil kunjungan balas, orang berbudi kita berbahasa, orang datang, kita pun datang baliklah.

“Sudah tentu kata teras politik Malaysia ni sudah tentu terasnya adalah orang Melayu kita,” katanya ketika ditemui pada PAU 2026 yang masuk hari ketiga berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Selain Idris, antara pemimpin Pas yang hadir ialah Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari serta Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Sementara itu, Idris berkata, Pas turut mendoakan agar keadilan sewajarnya dapat diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila permohonan pengampunan beliau ditangguhkan hari ini.

Jelasnya, parti itu mengharapkan yang terbaik buat bekas Presiden UMNO itu.

“Kita (Pas) mendoakan supaya diberikan keadilan sepatutnya,” katanya.

Terdahulu, permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Perkara itu diperkenan Yang di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Mengulas mengenai ucapan Dasar Presiden UMNO berhubung intimidasi cuba dilakukan oleh parti lawan ekoran kesefahaman dua parti itu, Idris berkata, ia membuktikan kerjasama kedua-dua parti terbesar Melayu itu memberi kesan dalam politik negara.

“Kita tahu yang mempunyai organisasi yang kuat di peringkat kaum ini sampai ke atas ialah Pas. Maka kehadiran pada kami ialah untuk melengkapkan kepada kerjasama politik dalam konteks Malaysia ini.

“Sebenarnya kerjasama sekarang sudah berjalan pun. Kita itu memang dah mengarahkan semua ahli bawah (Pas) kita menjalin hubungan untuk meneroka bersama-sama ahli bawah (UMNO),” katanya lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here