Guru cedera kereta terbalik langgar penutup longkang

SEORANG guru wanita cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbalik selepas melanggar besi penutup longkang yang terangkat di persimpangan Jalan Gasing menghala ke Jalan Templer, Petaling Jaya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun mengalami luka pada kaki kanan akibat terkena serpihan kaca kenderaan.

Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada struktur besi di atas jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.

“Kemalangan berlaku apabila tayar kiri kereta Honda City dipandu mangsa melanggar besi penutup longkang yang terangkat itu.

“Kejadian menyebabkan bahagian bawah kenderaan tersangkut pada besi berkenaan lalu hilang kawalan sebelum terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.

“Kereta dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59),” katanya.

Polis turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika memandu, terutama di kawasan yang membabitkan liputan penyelenggaraan struktur jalan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here