472 warga asing ditahan dalam operasi mega di Lebuh Pudu

SERAMAI 472 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega di sekitar Lebuh Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Jumlah itu membabitkan sebahagian daripada kira-kira 2,500 warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula jam 11 pagi susulan aduan mengenai kehadiran ramai warga asing serta premis perniagaan yang dipercayai beroperasi secara haram di kawasan berkenaan.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, operasi itu membabitkan 337 pegawai terdiri daripada 218 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 119 pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, agensi terbabit termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jumlah keseluruhan yang kita tangkap ialah 472 orang. Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 62 tahun, terdiri daripada 439 lelaki dan 33 perempuan.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya selepas operasi berkenaan, hari ini, lapor Buletin TV3.

Hamsha berkata, warga Bangladesh merekodkan jumlah tertinggi ditahan iaitu 364 lelaki, diikuti warga Myanmar seramai 57 orang terdiri daripada 49 lelaki dan lapan wanita.

Turut ditahan ialah lapan lelaki warga Nepal, tujuh warga Indonesia, tujuh warga Pakistan, enam warga India, sembilan warga Filipina, tiga warga China serta masing-masing seorang warga Zimbabwe dan Arab Saudi.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, kesalahan berkaitan pas serta pelanggaran lain di bawah undang-undang imigresen.

Beliau berkata, pemilihan Lebuh Pudu sebagai lokasi operasi dibuat selepas pihaknya menerima beberapa aduan, termasuk daripada DBKL, berhubung kehadiran warga asing serta premis yang disyaki menjalankan perniagaan secara haram.

“Kawasan ini beberapa kali kita dapat aduan. Daripada DBKL pun ada membuat aduan terdapat ramai warga asing di sini dan juga ada premis-premis yang mungkin menjalankan perniagaan secara haram.

“Pada hari ini kita periksa terlalu ramai warga asing, 2,500 yang kita periksa. Kebanyakan mereka ada pas kerja dan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah hanya 472 orang,” katanya.

Mengulas premis perniagaan yang dipercayai beroperasi secara haram, beliau berkata, tindakan berkaitan perkara itu akan dikendalikan DBKL, manakala JIM memberi tumpuan terhadap kesalahan imigresen termasuk penyalahgunaan pas, tinggal lebih masa dan ketiadaan dokumen sah.

Hamsha berkata, Kuala Lumpur sememangnya menjadi antara kawasan tumpuan warga asing, termasuk mereka yang datang dari negeri lain, namun kebanyakan individu yang diperiksa dalam operasi hari ini didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen supaya memanfaatkan Program Repatriasi Migran (PRM) bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, mereka yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan pula perlu melalui proses siasatan dan boleh berdepan pendakwaan sebelum tindakan pengusiran dilaksanakan.

JIM turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan, pemilik premis atau individu yang melindungi dan menggajikan pendatang asing tanpa izin.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here