AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata pihaknya menerima maklumat kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.35 pagi berhubung kehilangan kumpulan pemancing terbabit selepas keluar dari Jeti Sementa.
Beliau berkata, susulan maklumat itu, aset Maritim Malaysia digerakkan seawal jam 3.40 pagi sebelum operasi CARILAMAT diaktifkan secara rasmi pada jam 5 pagi.
“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang.
“Maritim Malaysia menggerakkan aset laut dan udara secara serentak bagi memperluas liputan pencarian serta meningkatkan keberkesanan usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sektor pencarian di laut meliputi kawasan seluas 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian melalui udara meliputi kawasan seluas 509.6 batu nautika persegi di sekitar perairan One Fathom Bank.
Katanya, aset Maritim Malaysia yang terlibat dalam operasi ialah Bot Penggalang 1 dan pesawat udara CL415MP (Bombardier), selain aset RH16 Pasukan Polis Marin serta sebuah bot aluminium milik JBPM.
Operasi CARILAMAT masih giat dijalankan berikutan ketujuh-tujuh pemancing termasuk tekong masih belum dapat dikesan dan dihubungi.
Maritim Malaysia akan terus menyelaras usaha pencarian bersama agensi terlibat dengan mengoptimumkan keupayaan aset laut dan udara bagi memastikan operasi CARILAMAT dilaksanakan secara pantas, tersusun dan berkesan.





