KAITAN mangsa dengan kes samun berkumpulan membabitkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang, 7 September lalu, kini menjadi antara fokus siasatan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata siasatan setakat ini mendapati terdapat kaitan kes berkenaan dengan mangsa sendiri, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
“Apa yang boleh saya katakan (kes ini) ada kaitan dengan mangsa itu sendiri.
“Bagaimana kaitannya akan dijelaskan kemudian. Beri (masa) siasatan berjalan terlebih dulu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini, lapor Buletin TV3.
Fadil berkata, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dalam kes itu, namun belum membuat sebarang tangkapan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah suspek yang dikenal pasti kerana siasatan masih giat dijalankan.
“Kita masih dalam tindakan penyiasatan dan ia dilakukan secara agresif. Setakat ini belum ada tangkapan lagi. Beri kami sedikit masa,” katanya.
Menurutnya, polis sudah merakam percakapan mangsa dan penghuni kediaman berkenaan, selain kakitangan serta pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.
Katanya, polis turut berhubung dengan Kedutaan China serta pihak berkaitan susulan kehilangan pasport mangsa.
Terdahulu, polis memaklumkan siasatan turut menjurus kepada kemungkinan elemen orang dalam atau bersubahat berikutan kondominium berkenaan mempunyai kawalan keselamatan ketat.
Dalam kejadian antara jam 2 hingga 3 petang pada 7 September lalu, sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau dipercayai menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang.
Kumpulan itu melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan anggaran kerugian RM2.91 juta, selain merosakkan telefon serta melarikan pasport milik mangsa lelaki warga China berusia 28 tahun.
Polis sebelum ini turut merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Fadil menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul antara Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam dan pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa.





