Dua bekas banduan ditahan semula, aktif pecah rumah, samun dan curi parcel

DUA bekas banduan yang dibebaskan pada awal 2023 kembali aktif melakukan jenayah sebelum ditahan dalam Op Pintu Durai, Iskandar Puteri pada 5 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu dipercayai terbabit dalam 11 kes pecah rumah, samun stor peralatan kabel di sebuah pusat data dan mencuri bungkusan sejak April lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek berasal dari utara tanah air dan tiba di Johor pada Januari lalu untuk bekerja di kawasan kilang, namun diberhentikan kerja pada Mac.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek bergerak secara berkumpulan, dengan sasaran utama rumah tidak berpenghuni serta kawasan kilang dan tapak pembinaan yang terpencil.

“Dalang bagi kumpulan ini merupakan suspek berusia 26 tahun. Setakat siasatan yang dijalankan, hanya mereka berdua sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah melakukan jenayah antara jam 3 hingga 6 pagi ketika keadaan sunyi.

“Suspek turut menyamar sebagai pengawal keselamatan sebelum memecah masuk tapak pembinaan sebuah pusat data untuk menyamun kabel tembaga pada 28 Julai lalu.

“Dalam kejadian itu, terdapat warga asing yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dan mereka mengikat pengawal berkenaan sebelum melakukan samun.

“Kerugian akibat kecurian kabel tembaga dianggarkan RM50,000 dan ia adalah kes keenam yang dilakukan kedua-dua suspek,” katanya.

Saifullah berkata, selain kabel tembaga, suspek turut mencuri bungkusan yang ditinggalkan di hadapan rumah dengan jumlah kerugian lebih RM7,000.

“Ada barang parcel yang dijual dan ada yang digunakan untuk kegunaan sendiri. Mereka akan mengambil parcel, membawanya pulang dan membukanya sebelum mengasingkan barang untuk kegunaan sendiri atau dijual.

“Jumlah keseluruhan kerugian bagi 11 kes yang berjaya diselesaikan dianggarkan RM75,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan bagi kes pecah rumah dan dadah.

“Suspek berusia 26 tahun mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi suspek mempunyai 31 rekod jenayah lampau.

“Kedua-duanya pernah dipenjarakan sebelum dibebaskan pada awal 2023,” katanya.

Dalam pada itu, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Katanya, kedua-dua suspek masih ditahan selepas mahkamah melanjutkan tempoh reman dan akan dituduh di mahkamah pada 17 September ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here