SEBANYAK 14 penumpang bersama seorang pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbakar ketika dalam perjalanan di Kilometer 137 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Batu Pahat, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 1.37 petang itu membabitkan bas yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Lapangan Terbang Subang, dengan kira-kira 80 peratus kenderaan terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman.
Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sebelum api merebak dan bas dipastikan selamat selepas api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.48 petang.
“Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan kerana semua penumpang dan pemandu sempat keluar dari bas sebelum api marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.





