SATU lagi mayat pemancing yang dilaporkan hilang Ahad lalu, ditemukan terapung di perairan Perak petang semalam, pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kira-kira jam 4.26 petang semalam, pasukan SAR menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan berhubung penemuan berkenaan.
“KM Nusa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.05 petang dan mengesahkan penemuan mayat itu.
“Hasil pengecaman awal oleh seorang daripada waris berdasarkan gambar serta kasut yang dipakai mangsa, mayat berkenaan dipercayai sebagai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, iaitu seorang daripada dua mangsa yang masih hilang.
“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan seterusnya akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, dengan penemuan terbaru ini, enam daripada tujuh mangsa sudah ditemui, iaitu empat dalam keadaan selamat dan dua meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, masih belum ditemukan.
“Operasi SAR hari keempat ditangguhkan pada jam 9 malam tadi dan akan disambung semula jam 7 pagi ini dengan pembabitan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan. bagi meneruskan usaha mengesan mangsa terakhir.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan tujuh lelaki tempatan yang keluar memancing dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang pada Ahad lalu, kira-kira jam 8.20 pagi dan tidak pulang seperti dijadualkan.





