SEORANG juruteknik maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 70, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi di Dungun pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Mohd Yusop Abu Bakar, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Wa Baru, Dungun dari tempat kerjanya di tempat kerjanya di Bukit Besi.
“Semasa tiba di lokasi, motosikal jenis Honda Waze ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta tersebut dipandu lelaki berusia 42 tahun dikatanya dalam perjalanan ke pusat bandar Dungun dari Jerangau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ab Halim berkata, pelanggaran itu menyebabkan Mohd Yusop tercampak dari motosikal.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemandu kereta Perodua Myvi pula mengalami kecederaan ringan di muka,” katanya.





