SEORANG wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan tusukan pada kaki di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar, petang semalam, sebelum polis menahan dua lelaki yang juga ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas kejadian kira-kira jam 2.15 petang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa berusia 49 tahun dan suspek.
“Siasatan juga mendapati ahli keluarga sudah menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di ruang tamu rumah.
“Untuk itu, polis menahan dua lelaki yang juga ahli keluarga mangsa kerana dipercayai terbabit kes ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Heisham berkata, polis turut menjumpai sebilah pisau yang disyaki digunakan ketika kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan Nor Ainon Omar, 49, ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan pada kaki di rumahnya di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar.
Kediaman itu dihuni mangsa bersama suami dan tiga anak mereka yang turut dilaporkan berstatus OKU.





