SEORANG lelaki warga Myanmar mendakwa membayar kira-kira RM15,000 kepada seorang ejen bagi menguruskan perjalanan dari Myanmar sebelum memasuki Malaysia, pada 2024.
Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan dalam Ops Taring Wawasan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu, pada jam 10.30 malam tadi selepas berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan terminal berkenaan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek yang mengaku bernama Lobia Molta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.
Sebaliknya, suspek hanya menunjukkan salinan dokumen bersaiz A4 yang diragui kesahihannya.
“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa memasuki Malaysia pada 2024 dengan menaiki kapal laut dari Myanmar ke Gelang Patah, Johor, dengan perjalanan mengambil masa kira-kira lapan hari.
“Suspek mendakwa membayar 7,719,660 kyat, bersamaan kira-kira RM15,000, kepada seorang ejen yang menguruskan perjalanannya dari Myanmar sehingga memasuki Malaysia,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, suspek kemudiannya bekerja sebagai tukang mengetuk dan mengecat kenderaan di sekitar Kulai, Johor.
“Ketika ditahan, suspek mendakwa sedang menunggu bas untuk kembali ke Johor dan memaklumkan kehadirannya di Kelantan adalah untuk berjumpa seorang rakan,” katanya.
Suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Ahmad Radzi berkata, risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan serta membanteras kegiatan penyeludupan migran, selain mengekang kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan yang tidak diwartakan.





