Perselisihan tuntutan RM60 berakhir dengan lelaki cedera ditetak

PERTIKAIAN berhubung wang RM60 dipercayai menjadi punca seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala dan ibu jari selepas ditetak menggunakan parang di Kampung Kelansatan di Kuala Penyu, Beaufort pada Isnin lalu.

Susulan kejadian itu, polis bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun di kawasan kejadian dan merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kejadian tercetus selepas berlaku perselisihan antara mangsa dan suspek berkaitan tuntutan wang berkenaan.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Balai Polis Kuala Penyu menahan suspek di kawasan kejadian dan merampas sebilah parang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.

“Mangsa sudah menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Champin berkata, suspek kini dibawa untuk menjalani proses siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya menangani sebarang pertikaian secara rasional dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau kecederaan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil minuman memabukkan secara berlebihan kerana keadaan itu boleh menjejaskan pertimbangan dan meningkatkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here