Tun M sebak saksikan pengebumian jenazah Tun Dr Siti Hasmah

TUJUH dekad melayari bahtera kehidupan bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, waktunya tiba ke penghujung apabila Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menahan sebak ketika mengiringi jenazah isterinya ke persemadian terakhir hari ini.

Dalam keadaan menggunakan kerusi roda elektrik serta dibantu tiub oksigen, bekas Perdana Menteri itu tetap hadir bersama anak-anak dan keluarga terdekat untuk menyempurnakan penghormatan terakhir buat insan yang menjadi teman hidupnya sejak 1956.

Kesedihan jelas terpancar pada wajah Dr Mahathir ketika berada di sisi pusara isterinya di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.

Beliau dilihat menitiskan air mata dalam suasana penuh hiba sebelum jenazah Allahyarham disemadikan, mengakhiri perjalanan panjang bersama wanita yang setia mendampinginya selama hampir 70 tahun.

Sebelum itu, Dr Mahathir turut berada di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk memberikan penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah bersama ribuan jemaah.

Dengan wajah sugul, beliau dilihat termenung seketika sambil memandang jenazah Tun Dr Siti Hasmah sebelum menyertai jemaah yang memenuhi ruang masjid.

Setibanya di Pusara Negara, Dr Mahathir terus dibawa menghampiri kawasan perkuburan bersama anak-anak dan anggota keluarga terdekat. Dari kerusi roda elektriknya, beliau menyaksikan sendiri proses pengebumian isterinya dalam suasana hening.

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah turut meninggalkan kenangan mendalam buat rakyat Malaysia yang selama ini melihat pasangan berkenaan sebagai antara pasangan paling dikenali dalam sejarah negara.

Hubungan mereka sering menjadi perhatian bukan hanya ketika menghadiri acara rasmi, malah menerusi interaksi bersahaja, gurauan dan kemesraan yang ditampilkan secara spontan di khalayak.

Sepanjang perjalanan politik dan kehidupan Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah sentiasa berada di sisinya, selain memainkan peranan sebagai isteri, ibu dan pendamping kepada suaminya dalam pelbagai fasa kehidupan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.

Tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka, sebelum Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun.

Pemergiannya menutup lembaran sebuah perjalanan rumah tangga yang panjang, sekali gus meninggalkan kenangan seorang isteri yang sekian lama menjadi pendamping setia Dr Mahathir.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here