Bas Rapid KL terlibat kemalangan, seorang maut

SEORANG maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid KL di Persiaran Subang Permai di Subang Jaya pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.19 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan menuju ke Subang Mewah.

Menurut kenyataan Rapid KL, kemalangan berlaku apabila bas terbabit melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan ketika melalui kawasan berkenaan.

“Sebuah motosikal yang berada di lokasi terbabit juga terbabit dalam kemalangan itu. Akibatnya, penunggang dan pembonceng itu cedera.

“Ambulans tiba di lokasi kejadian pada jam 7.07 pagi dan pegawai perubatan mengesahkan seorang daripada mangsa sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

“Mangsa cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Susulan kejadian, Rapid KL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Rapid KL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan berhubung kejadian ini.

“Pada masa yang sama, Rapid KL akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan penumpang, kakitangan dan semua pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan pihak berkuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here