Hilux dinaiki lima pekerja ECRL terbabas ketika potong lori

LIMA pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk empat warga China cedera selepas Toyota Hilux dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ketika cuba memotong sebuah lori di Kilometer 155 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Maran semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki warga tempatan dan membawa empat penumpang pekerja warga China.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka dalam perjalanan dari pejabat projek ECRL Maran menuju ke Lanchang, Temerloh.

“Ketika tiba di lokasi, Toyota Hilux hilang kawalan ketika hendak memotong sebuah lori menyebabkan kenderaan terbabas ke kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian berpusing dan melanggar penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan, katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-943 6741 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here