
HARI ini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, agensi itu belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan sebanyak RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kata beliau, pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media dan belum menerima aduan rasmi berkaitan dakwaan berkenaan setakat ini.
“Kita baca melalui media massa sahaja. Belum ada lagi secara rasmi. Jadi saya tidak fikir wajar untuk saya komen. Apabila perkara itu diadukan secara rasmi kepada pihak kami, sudah tentu pihak kami akan masuk (menyiasat),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 4/2026 di Putrajaya hari ini.
Isu perbelanjaan KKDW ini menjadi ‘panas’ apabila Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa SPRM mengambil tindakan terhadap kementerian itu berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan sebanyak RM2.1 bilion.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata kementerian itu tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan kerajaan, malah perbelanjaan kementerian adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan atau jumlah yang telah diluluskan kerajaan.
Dan hari ini Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zamzuri Abdul Aziz berkata, isu sudah selesai.
Beliau menjawab secara ringkas kepada wartawan selepas Majlis Peluncuran dan Persidangan Perdana Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Semalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii membidas kenyataan Guan Eng dengan menegaskan tiada istilah lebihan berbelanja seperti yang dibangkitkan g dan mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP itu.
“Dari mana beliau mendapat istilah ‘lebih berbelanja sebanyak RM2.1 bilion’?” kata Razlan dalam kenyataan.
“Adakah beliau memetik angka itu daripada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sebelum ini atau beliau telah mendapat penjelasan daripada kenyataan KSP sebelum ini? Kementerian Kewangan perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam memberi penjelasan kepada bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan ini,” kata Razlan.
Sementara itu, Razlan mendakwa kenyataan Guan adalah berniat jahat dan desakannya bermotifkan politik. Justeru bagi mengelakkan lebih banyak perbalahan, pertikaian dan tuduh menuduh serta demi keadilan kepada semua pihak adalah wajar SPRM menjalankan siasatan bagi mengetahui kedudukan sebenar.
Pada masa sama, PH pula khususnya DAP bolehlah membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan. Penulis percaya sama ada Ahmad Zahid, KKDW dan UMNO sendiri tidak akan keberatan memberi kerjasama sekaligus akan mengelakkan sebarang persepsi negatif kepada parti itu.
Sebelum ini sudah banyak isu berkaitan kewangan melibatkan pemimpin UMNO termasuk terbaru isu RCI Tabung Haji. Justeru adalah tidak adil jika UMNO terpaksa berhadapan dengan satu lagi isu yang cuba dikaitkan dengan kementerian yang diketuai pemimpin parti itu.
Biarlah siasatan dijalankan dan hasilnya didedahkan kepada umum, ia memandangkan RM2.1 bilion bukan jumlah yang kecil. Sudah pastilah KKDW ada jawapannya sama ada apakah benar berlaku lebihan belanja atau sememangnya KKDM berbelanja mengikut peruntukan.





