SEORANG penganggur wanita didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad turut memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum mendakwanya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.
Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu berkenaan untuk mendapatkan semula wangnya.
Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira kerugian besar dialami mangsa serta kekerapan kes penipuan di Malaysia.
“Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya, lapor Sinar Harian.
Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak bekerja dan menanggung dua anak selain ibu serta ibu mentua yang sakit.





