Proton Waja hilang kawalan, warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan

SEORANG lelaki berusia 65 tahun maut selepas Proton Waja dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dan melanggar Proton Persona di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik, malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 9 malam itu turut menyebabkan dua lelaki mengalami kecederaan, manakala dua lagi individu yang berada dalam Proton Persona tidak mengalami kecederaan.

SALAH sebuah kenderaan yang terlibat dalam nahas meragut nyawa seorang lelaki warga emas di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik, malam tadi

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang penumpang lelaki berusia 59 tahun dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik.

“Pada masa yang sama, sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun bergerak dari arah bertentangan iaitu dari Gerik menuju ke Kuala Kangsar.

“Setibanya di lokasi kejadian, Proton Waja dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bahagian sisi kanan Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SALAH sebuah kenderaan yang terlibat dalam nahas meragut nyawa seorang lelaki warga emas di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik, malam tadi

Beliau berkata, selepas perlanggaran itu, Proton Waja berpusing kembali ke laluan asal sebelum merempuh Proton Persona yang berada di belakangnya.

Akibat kemalangan, Toyota Hilux terbabas dan terbalik separuh di atas penghadang jalan, manakala Proton Waja dan Proton Persona berhenti di laluan menghala dari Kuala Kangsar ke Gerik.

“Pemandu Proton Waja disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpangnya mengalami kecederaan di muka dan kaki kanan.

“Pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan di bahagian leher, manakala pemandu dan penumpang Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Abdul Samad berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Daerah Gerik untuk bedah siasat, manakala dua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, polis sedang berusaha mendapatkan saksi bebas serta rakaman dashcam atau kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin merakam kejadian berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu polis,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here