PENGUSAHA lori yang digunakan untuk mengutip dan mengangkut sisa hari ini mendesak kerajaan mengembalikan kelayakan subsidi diesel yang terjejas hanya disebabkan perubahan klasifikasi kenderaan dalam rekod rasmi.
Tuntutan itu dikemukakan Persatuan Pengusaha Roll-On Roll-Off Bin Malaysia (PROBIN-M) menerusi memorandum yang diserahkan kepada kerajaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya hari ini.

Pengerusinya, Wan Mohd Zharif Wan Zulkiffeli berkata, sebahagian pengusaha berdepan kehilangan kelayakan subsidi selepas nama atau kategori kenderaan dalam Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) berubah susulan proses pemeriksaan.
Menurutnya, perubahan pada rekod berkenaan tidak bermakna fungsi asal lori turut berubah kerana kenderaan terbabit masih digunakan untuk membawa tong RoRo serta menjalankan kerja kutipan dan pengangkutan sisa dari kawasan komersial, perindustrian dan pembinaan.
“Fungsi kenderaan tidak berubah. Kelayakan tidak wajar terpadam hanya kerana perubahan nama model dalam VOC,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan, lapor FMT.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan wujud perbezaan kelayakan subsidi antara lori yang menjalankan tugas sama.
Katanya, lori yang masih dikategorikan sebagai “Lori Rigid Sampah” berpotensi menikmati subsidi diesel, manakala kenderaan yang direkodkan sebagai “Lori Roll-On Roll-Off” pula tidak lagi layak menerima kemudahan berkenaan.
Wan Mohd Zharif berkata, isu tersebut lebih kepada ketidakselarasan klasifikasi serta rekod pentadbiran antara agensi dan bukannya perubahan fungsi operasi kenderaan.
“Pengusaha yang mematuhi proses pemeriksaan dan pengemaskinian rekod tidak sepatutnya dihukum apabila perubahan istilah dalam VOC menyebabkan mereka hilang kelayakan subsidi,” katanya.
Menurutnya, kehilangan subsidi memberi kesan langsung terhadap kos perjalanan dan operasi harian, selain menekan aliran tunai syarikat yang kebanyakannya terikat dengan kontrak sedia ada.
Beliau turut memberi amaran peningkatan kos operasi secara berterusan boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan kutipan sisa, sekali gus memberi kesan kepada sektor perniagaan, industri dan orang awam.
“Isu ini bukan hanya mengenai kos pengusaha. Jika operasi kutipan terganggu, ia boleh memberi kesan kepada kebersihan awam, kesihatan masyarakat dan imej negara,” katanya.
Sehubungan itu, PROBIN-M menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kelayakan subsidi diesel bagi lori RoRo yang digunakan khusus untuk kerja kutipan dan pengangkutan sisa, termasuk kenderaan yang terjejas akibat perubahan nama atau klasifikasi dalam VOC.
Persatuan itu turut mencadangkan supaya penolakan permohonan yang berpunca semata-mata daripada ketidakpadanan istilah dikenakan moratorium sementara penyelarasan dibuat.
Selain itu, data dan kod klasifikasi antara Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom serta agensi berkaitan dicadangkan supaya diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan berulang.
PROBIN-M turut meminta satu saluran rayuan segera diwujudkan bagi membolehkan pengusaha membuat semakan, selain mencadangkan kes permohonan terdahulu yang ditolak atau dihentikan akibat perubahan klasifikasi dinilai semula.
Persatuan itu berharap kerajaan dapat memberikan maklum balas bertulis dan mengambil tindakan awal dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas memorandum diterima.





