INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) diberi autonomi untuk menentukan kaedah pembelajaran yang sesuai berdasarkan keadaan jerebu di kawasan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan jerebu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti boleh menilai keadaan setempat sebelum menentukan kaedah pembelajaran yang bersesuaian.
“Autonomi telah diberikan kepada universiti, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara untuk melihat keadaan masing-masing. Kalau pelajar tidak dapat hadir ke kampus, mereka boleh menggunakan kaedah pembelajaran lain termasuk secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Malaysia Global Civilizational Initiative Summit cum Islam-Confucian Civilizational Cultural Festival 2026 (MGCIS-ICCCF 2026) di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur hari ini.
Zambry berkata, pendekatan itu membolehkan setiap IPT mengambil tindakan mengikut keadaan jerebu di lokasi masing-masing tanpa perlu menunggu arahan secara berpusat daripada KPT.
Beliau berkata, keutamaan adalah memastikan proses pembelajaran pelajar terus berjalan sekiranya keadaan jerebu menjejaskan kehadiran mereka ke kampus.





