SEORANG warga Filipina dipercayai menjadi dalang cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Manila menggunakan jet peribadi yang dikaitkan dengan syarikat penerbangan kendalian Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati individu terbabit mengatur piagam pesawat itu pada harga AS$49,500 (kira-kira RM202,250) bagi membawa barangan yang diisytiharkan sebagai kargo dari Laos ke Filipina.
Beliau berkata, polis Malaysia turut berkongsi maklumat mengenai individu berkenaan dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu usaha mengesan dan menahan suspek, lapor Harian Metro.
Sementara itu, pihak berkuasa Laos sebelum ini menahan 13 individu berhubung rampasan dadah berkenaan, termasuk seorang pegawai kedua warga Malaysia.
Jet peribadi yang dikaitkan dengan kes itu pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.
Pesawat berkenaan kemudian dipercayai digunakan dalam cubaan membawa penghantaran dadah dalam jumlah besar itu dari Laos ke Filipina.





