SEORANG pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 15 tahun di Bandar Sri Indah, Tawau, pada 4 Oktober lalu.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam semalam susulan laporan polis yang dibuat mangsa, lapor Buletin TV3.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini bagi permohonan reman sebelum Majistret Dayang Aidaku Amirah Aminuddin membenarkan tahanan reman sehingga 16 Oktober.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang apabila mangsa dibawa suspek yang dikenalinya menerusi aplikasi Telegram menaiki sebuah kereta Proton Saga ke kawasan belakang sebuah pasar raya di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas.
Mangsa dilaporkan pertama kali bertemu suspek pada hari kejadian sebelum lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan ketika mereka berada di dalam kenderaan.
Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya dua hari selepas insiden berkenaan sebelum keluarganya membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.
Difahamkan, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek serta kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.





