Pelajar maut, rakan parah motosikal rempuh lori ketika pulang sekolah

SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Empat maut, manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang sedang membelok memasuki simpang di Jalan Kerawai di Sik petang tadi.

Ketika kejadian, kedua-dua pelajar berusia 15 dan 16 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah berdasarkan pakaian seragam yang dipakai.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Syamzury Saman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori dan motosikal itu pada jam 2.50 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Jeniang menuju ke Kampung Kerawai, manakala motosikal dinaiki kedua-dua pelajar itu bergerak dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Enggang menuju ke Kampung Bandar Hilir.

Kedua-dua kenderaan dipercayai bergerak dalam arah yang sama sebelum kemalangan berlaku.

“Apabila tiba di tempat kejadian, lori berkenaan membelok untuk masuk ke simpang sebelah kanan jalan.

“Motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar lori yang sedang memasuki simpang kanan dan motosikal terbabit terperosok ke bawah lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syamzury berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng yang cedera parah dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 petang sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, mangsa yang terperangkap di bawah lori berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here