SEORANG pelajar tingkatan lima maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang dalam kejadian ribut di tali air belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, di Bachok petang ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal Modenas Kriss, sebelum sebatang pokok kelapa tiba-tiba patah dan menghempap mereka.
Berikutan kejadian itu, mangsa Nik Mohd Haiqal Abdul Rahim, 17, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ahmad Iqbal Mukmin, 17, cedera parah di bahagian tengkuk.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa dipercayai melalui kawasan tali air itu sebelum ribut berlaku menyebabkan sebatang pokok kelapa setinggi 10 meter patah dan menghempap kedua-dua mereka.
Ismail berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bachok.
Sementara itu, Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad, 52, berkata, lokasi kejadian adalah laluan harian penduduk kampung terutama pelajar.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika ribut kuat melanda kawasan berkenaan selama kira-kira lima minit.
“Ini kali pertama kejadian pokok tumbang berlaku dan menyebabkan kematian,” katanya.
Nor Azman berkata, Ahmad Iqbal yang parah dipercayai masih bertongkat kerana patah kaki akibat kemalangan sebelum ini.






