OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Chuah, Kajang sejak semalam, akan disambung semula esok selepas ditangguhkan petang tadi akibat hujan lebat.
Mangsa, lelaki berbangsa India berusia lingkungan 40-an dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus sungai berhampiran Jalan Pasir Emas 2. Ketika kejadian, lelaki terbabit memakai baju putih.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang semalam daripada orang awam yang melaporkan kejadian itu.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum memulakan pencarian di sepanjang tebing sungai.
“Usaha pencarian awal tertumpu di sepanjang tebing sungai sebelum operasi diperluaskan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9).
“Seramai tujuh anggota PPDA tiba di lokasi pada jam 6.38 petang, manakala pos kawalan hadapan dibuka pada jam 6.42 petang bagi menyelaras operasi pencarian,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata, pencarian diteruskan sehingga lewat malam semalam, namun mangsa masih gagal ditemukan.
Operasi memasuki hari kedua hari ini dengan anggota penyelamat menggunakan kayak dan bot untuk menyusuri sungai, selain bantuan unit anjing pengesan (K9) yang melakukan pencarian di sepanjang tebing.
Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan pada jam 4.30 petang berikutan hujan lebat di kawasan kejadian.
Ashrul Riezal berkata, seramai 23 anggota bomba, lima anggota polis dan dua anggota Bomba Sukarela Malaysia (RBM) terbabit dalam operasi berkenaan.
Tambah beliau, pasukan dari BBP Kajang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang, termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta unit K9, turut digerakkan bagi membantu usaha mengesan mangsa.
Operasi SAR dijadualkan disambung semula esok.





