KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan lelaki warga Pakistan yang tular membeli minyak masak bersubsidi menggunakan aplikasi e-COSS milik isterinya di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di daerah Kuala Terengganu sebelum hantaran berkenaan dipadamkan oleh pemilik akaun.
Menurutnya, semakan identiti mendapati lelaki itu berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai dua anak yang memerlukan penjagaan khusus.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiada aplikasi Mobil Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (e-COSS) dipasang pada telefon bimbit lelaki itu.
“Semakan terhadap telefon bimbit milik isterinya pula menemukan rekod transaksi pembelian tiga peket minyak masak pada tarikh kejadian.
“Berdasarkan keterangan yang diperoleh, lelaki itu menggunakan aplikasi Mobil e-COSS pada telefon bimbit isterinya untuk membeli minyak masak peket di pasar raya berkenaan, seperti yang dipaparkan dalam rakaman video tular di aplikasi Threads,” katanya.
Mohd Mufsi berkata, pembelian itu dilakukan kerana isterinya perlu berada di rumah untuk menguruskan keperluan dan kebajikan anak-anak mereka.
Katanya, siasatan lanjut tidak menemukan sebarang kesalahan lain mengikut undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN terhadap lelaki berkenaan.
Sehubungan itu, peringatan diberikan kepada lelaki terbabit dan isterinya supaya menggunakan aplikasi e-COSS secara bertanggungjawab dan berintegriti pada masa akan datang.





