Van jenazah hilang: Pemilik bengkel warga Pakistan didenda RM1,800

LELAKI warga Pakistan yang sebelum ini menjadi tumpuan susulan penemuan sebuah van jenazah yang dilaporkan hilang di bengkel miliknya, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Afsar Shah, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Afsar didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sebuah premis berpagar zink tanpa nombor dan nama di Bukit Kapar, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 7.20 malam pada 7 Ogos lalu, lapor Harian Metro.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil (Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian) (MPK) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 39 undang-undang kecil sama.

Peruntukan berkenaan membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam Mark Jeyakumar dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh memohon maaf dan berjanji perkara sama tidak akan berulang.

Katanya, tertuduh sebelum ini sudah menyerah diri ke balai polis bagi membantu siasatan kes lain membabitkan kecurian kereta dan siasatan berhubung kes itu sudah diselesaikan dengan tertuduh bukan suspek utama.

“Tertuduh juga sudah direman 15 hari dengan tempoh itu ibarat hukuman kepadanya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Media sebelum ini melaporkan sebuah van jenazah yang dilaporkan hilang ditemukan dalam serbuan di sebuah premis bengkel kenderaan lama dan terpakai di Bukit Kapar, Klang, pada awal bulan ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here