MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung di kawasan tebing Tasik Raban, di Gerik, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan itu pada jam 5.17 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping untuk proses pengecaman identiti dan bedah siasat.
“Identiti lelaki itu disahkan oleh isterinya. Bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian mangsa akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan di sekitar tasik itu turut menemukan sebuah motosikal Honda Wave berwarna merah dan putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menghantar beberapa spesimen ke Jabatan Kimia untuk ujian toksikologi.





