KELUARGA Allahyarham Noorizwan Zulkefly mendesak pihak yang didakwa terbabit dalam kematian lelaki itu ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ditahan dan didakwa di mahkamah.
Adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly berkata, keluarganya turut meminta Ahli Parlimen membangkitkan kes berkenaan di Dewan Rakyat serta mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan perkembangan siasatan.

Menurutnya, keluarga juga mahu penjelasan berhubung dakwaan kecederaan yang dialami abangnya serta tindakan yang sudah diambil terhadap anggota polis yang dikaitkan dengan kes itu.
“Kita menuntut keadilan, kita minta semua pelaku ditangkap serta digantung tugas dan kita minta pelaku dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, daripada hari pertama sidang media, sampai ke hari ini dah 27 hari, masih belum ada lagi tangkapan dibuat, hendak tunggu apa lagi.
“Ahli keluarga sentiasa menunggu dan terus menunggu dan diberi pelbagai kenyataan dan kita tidak mahu semua itu, kita mahu semua pelaku ditahan dan didakwa di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas keluarga menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, hari ini, lapor BH.
Terdahulu, keluarga Allahyarham bersama peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Tugu Negara ke bangunan Parlimen kira-kira jam 10.30 pagi bagi menyerahkan memorandum bertajuk Seruan Untuk Tindakan Parlimen Berhubung Mangsa Kematian Dalam Tahanan Polis Noorizwan dan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Memorandum itu diserahkan oleh Nooranis bersama peguam Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied kepada Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Omar A Manap.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Noorizwan sebelum ini ditahan di IPD Cheras berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, Allahyarham dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.





