SEEKOR tapir betina dewasa seberat kira-kira 200 kilogram ditemukan mati selepas dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Serdang di Dungun malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 8.30 malam.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kepala selain beberapa kesan calar pada badannya.
“Pemeriksaan mendapati bangkai tapir itu mempunyai kecederaan di bahagian kepala serta beberapa kesan calar pada badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lokasi kejadian terletak kira-kira 100 meter dari Hutan Simpan Bukit Bauk dan kawasan berkenaan sudah dilengkapi papan tanda amaran lintasan hidupan liar.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berhampiran hutan dan laluan lintasan hidupan liar, selain sentiasa peka terhadap papan tanda amaran.





