Jangan jadikan perbezaan politik punca permusuhan – Belia 

PERBEZAAN fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan, sebaliknya perlu diraikan menerusi perbincangan matang yang mengutamakan kepentingan rakyat dan keharmonian negara.

Golongan belia berpandangan, budaya menyerang peribadi, mengecam dan melabel pihak yang berbeza pandangan hanya akan mengeruhkan hubungan masyarakat, selain menghakis kepercayaan generasi muda terhadap politik.

APA KATA ANAK MUDA?

Nabilah Natasha Yusmadie.

Nabilah Natasha Yusmadie berkata, politik matang bukan bermaksud semua pihak perlu bersetuju dengan pandangan lawan, sebaliknya berupaya menerima perbezaan pendapat dan menghormati pendirian orang lain.

Menurutnya, kepentingan negara perlu diutamakan berbanding kepentingan parti atau individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Beliau berkata, budaya menyerang dan melabel individu hanya kerana perbezaan pandangan boleh membentuk pemikiran anak muda bahawa mereka yang mempunyai pendirian berbeza adalah musuh yang perlu ditentang.

“Jika budaya seperti ini terus dinormalisasikan, saya bimbang generasi muda akan membesar dengan pemikiran politik yang terlalu taksub kepada parti sehingga sukar menerima pandangan orang lain. Akhirnya, yang rugi bukan sahaja anak muda, tetapi masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

“Bersainglah untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, bukannya menanam kebencian dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Danish berkata, politik matang seharusnya berteraskan fakta, cadangan penyelesaian dan kebajikan rakyat, bukannya perbalahan peribadi atau manipulasi emosi.

Ahmad Danish.

“Budaya saling mengecam dan menyerang peribadi boleh mewujudkan persekitaran toksik, khususnya di media sosial, selain menjejaskan hubungan sesama masyarakat,” katanya.

Tambahnya, pemimpin politik seharusnya mengamalkan perdebatan secara sihat dengan mengemukakan data, dasar dan hujah berasas, selain berlapang dada menerima kritikan serta bersedia bekerjasama demi kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan parti.

“Jangan jadikan perbezaan fahaman politik sebagai alat untuk memecahbelahkan rakyat demi kepentingan kuasa jangka pendek. 

“Persaingan politik akan selesai selepas pilihan raya, namun rakyat tetap perlu hidup bersama sebagai satu bangsa,” katanya.

Nur Ezzatul Husna Zainatul Rahman pula berkata, politik matang perlu bermula dengan kesediaan kerajaan dan pembangkang untuk mendengar serta mempertimbangkan pandangan masing-masing tanpa merendahkan pihak lain.

Nur Ezzatul Husna Zainatul Rahman.

Menurutnya, Parlimen sepatutnya menjadi ruang perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik demi menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat, bukannya tempat ahli politik saling memperlekehkan.

“Tindakan ahli politik yang sering bertelagah, menuding jari dan membuat tuduhan menyebabkan golongan muda semakin hilang rasa hormat terhadap pemimpin.

“Keadaan itu turut menjadikan ahli politik sebagai bahan jenaka dalam kalangan generasi muda, khususnya menerusi kandungan meme di media sosial.

Nur Ezzatul Husna berkata, pemimpin perlu mengamalkan persaingan secara sihat dan mengelakkan tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Bersaing dan memimpinlah secara sihat agar menjadi ikutan yang baik serta memastikan perpaduan rakyat Malaysia. ‘Kita 1 Malaysia’ bukan hanya dibicarakan dan diingati ketika sambutan Hari Kebangsaan, malah perlu diterapkan dalam diri setiap masa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here