PERJANJIAN Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dan parti Bersatu perlu dilihat dari sudut usaha menjamin kestabilan pentadbiran serta memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan, bukannya semata-mata sebagai langkah mempertahankan kedudukan politik kerajaan.
Pensyarah di Bahagian Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azmil Mod Tayeb berkata, perjanjian itu boleh membantu memastikan Belanjawan 2027 mendapat sokongan mencukupi di Parlimen, sekali gus membolehkan perancangan pembangunan dan agenda kerajaan untuk rakyat diteruskan.

Menurutnya, kelulusan belanjawan negara penting bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program yang dirancang tidak terjejas akibat ketidaktentuan sokongan politik di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, CSA juga boleh berfungsi sebagai langkah perlindungan kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya Ahli Parlimen UMNO tidak hadir ketika undian belanjawan berlangsung.
“Meluluskan Belanjawan 2027 amat penting kepada kerajaan, khususnya ketika pilihan raya umum akan datang semakin hampir,” katanya.
Azmil berkata, keperluan mendapatkan sokongan mencukupi di Parlimen dapat dilihat menerusi pengalaman undian terdahulu, termasuk berkaitan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Katanya, kerjasama melalui CSA itu tidak semestinya mengubah struktur gabungan kerajaan memandangkan hubungan Bersatu dengan PH ketika ini hanya tertumpu kepada perjanjian berkenaan tanpa memerlukan UMNO membuat sebarang pengorbanan.
Dalam konteks lebih luas, kestabilan sokongan di Parlimen penting supaya urusan pentadbiran negara, khususnya berkaitan belanjawan dan pembangunan, dapat berjalan tanpa gangguan yang boleh menjejaskan kepentingan masyarakat.
Mengulas kemungkinan kesan CSA terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Azmil berkata, perjanjian itu berpotensi menjadi permulaan kepada kerjasama lebih rapat antara Bersatu dan PH bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru.
“Bersatu berpotensi bertanding bagi pihak PH di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Pada Khamis lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima Ahli Parlimen Bersatu adalah antara 13 pemimpin pembangkang yang menandatangani CSA, antara lain memberikan Ahli Parlimen parti itu peruntukan pembangunan kawasan sama seperti diterima Ahli Parlimen penyokong kerajaan.





