Dua warga Thailand didakwa bunuh anggota Maritim Malaysia

DUA lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Padang, minggu lalu.

Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang berasal dari Wilayah Satun itu didakwa secara bersama dengan niat melakukan bunuh terhadap Laskar Kelas I Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang antara jam 11 malam, 26 Oktober hingga 1.30 pagi, 27 Oktober lalu, lapor BH.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut sembilan migran warga Myanmar yang diseludup menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan muara Sungai Padang antara jam 11 malam, 26 Oktober hingga 12.30 tengah malam, 27 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63, namun pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen berkaitan daripada Jabatan Imigresen.

Sementara itu, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun, turut berdepan pertuduhan cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kejadian 27 Oktober lalu, lima anggota Maritim Malaysia tercampak ke laut selepas bot peronda yang dinaiki ketika mengejar sebuah bot disyaki membawa PATI merempuh bongkah konkrit tinggalan jeti lama.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan Mohd Roshaimi maut selepas dipercayai terhantuk pada bongkah konkrit berkenaan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, serta dua anak berusia 14 dan 11 tahun.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here