Jabatan Veterinar rampas 8,511 kilogram karkas babi, 22 babi hidup bernilai RM330,000

SEBANYAK 8,511 kilogram karkas babi dan 22 babi hidup dianggarkan bernilai lebih RM330,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam serbuan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan tanpa kebenaran, petang semalam.

DVS dalam kenyataan memaklumkan, serbuan menerusi Ops Black Swine pada jam 2 petang itu dijalankan dengan kerjasama polis.

Operasi berkenaan membabitkan 15 kakitangan DVS serta sembilan pegawai dan anggota polis.

“Hasil operasi, pihak penguat kuasa merampas karkas babi seberat 8,511 kilogram bernilai RM297,885 dan 22 babi hidup bernilai RM33,000,” menurut kenyataan itu.

Turut dirampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan, termasuk 80 cangkuk besi, 12 pisau, enam tong gas, empat dapur gas, sebuah penimbang digital dan satu unit besi penimbang.

Kes disiasat mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 674) dan Enakmen Mengawal Pemeliharaan Babi 1980 Negeri Sembilan berkaitan penyembelihan di tempat yang tidak dibenarkan.

Menurut DVS, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya bersama polis dalam mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang, selain melindungi kesihatan awam dan keselamatan makanan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here