SEBUAH banglo mewah tiga tingkat di kawasan elit bandar raya ini dipercayai dijadikan pusat kegiatan penipuan dalam talian sebelum diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Serkap, malam tadi.
Serbuan kira-kira jam 11 malam itu membawa kepada penahanan 14 lelaki warga China berusia antara 26 hingga 44 tahun serta rampasan 75 telefon bimbit dan 14 komputer riba yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan selama seminggu sebelum 49 pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua lelaki terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun sebahagian besar sudah tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 13 lelaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sitti Saleha berkata, siasatan awal turut mendapati semua lelaki terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dari banglo berkenaan.
“Selain telefon bimbit dan komputer riba, pihaknya turut merampas wang tunai RM3,742 dan 560 Yuan China, selain 13 kerusi, enam meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet.
“Semua lelaki yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, Imigresen Sabah memandang serius kegiatan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan dan permit sah.
Katanya, operasi penguatkuasaan serta pemantauan akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang negara.





