
SEMALAM hujan lebat, dalam media-media sosial termasuk whatsApp group ‘riuh rendah’ apabila orang ramai khususnya penduduk Shah Alam bimbang banjir melanda lagi.
‘’Balik oi balik’..itulah antara ‘seruan’ orang ramai kerana tiada apa yang dikhuatiri mereka selain terperangkap dalam banjir.
‘Seronoknya’ setiap kali banjir, mulalah pihak-pihak terlibat ‘kelam-kabut’ untuk bertindak dan pada masa sama tercetus idea untuk melakukan tindakan itu dan ini, bagi jangka masa pendek dan masa jangka panjang, tetapi akhirnya ‘habuk pun tak ada’.
Derita penduduk berterusan, limpahan air akibat pembangunan melampau akhirnya menyebabkan ribuan orang terperangkap di jalan raya, di sesetengah bangunan air menenggelamkan kenderaan dan di kawasan penempatan penduduk harta benda musnah.
Di Plaza Tol Bukit Jelutong dan kawasan sekitarnya sudah bertukar bagaikan ‘sebuah kampung air’ akibat daripada tindak balas alam terhadap kerakusan manusia melaksanakan pembangunan, hingga ada yang berkata, ’’di atas tanah sekangkang kerapun mahu dibangunkan’.
Kejadian banjir di sekitar plaza tol tersebut menjadi bahan jenaka dan sindiran apabila ada menganggap ia menjadi kepulauan Maldives setiap hari.
Masalahnya kepulauan Maldives airnya biru tetapi di Shah Alam, air yang melimpah ke jalan raya berwarna ‘teh tarik’ akibat pencemaran.
Soalnya sampai bila? Berapa lama lagi derita ini akan berterusan? Apakah kita hanya bijak meluluskan projek pembangunan tanpa membuat apa-apa persiapan menghadapi kesannya? Apakah kita hanya berbangga menjadi salah satu bandar raya termaju tetapi pengurusan banjir berantakan sepertimana kesan yang ditinggalkan apabila bencana itu berlaku?
Adakah pembangunan yang dilaksanakan hanya berlandaskan kepada kebijaksanaan merancang tetapi beku pemikiran apabila ia mengundang bencana?
Cukuplah! Sebelum ini macam-macam perancangan kita dengar mahu mengatasi masalah tersebut. Ramai yang tertanya-tanya apakah Kerajaan Negeri Selangor dan pihak yang bertanggungjawab sudah ‘putus akal’.
Penulis tidak menafikan ada usaha mahu dan telah dilakukan contohnya apabila Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) pada Mei lalu memaklumkan mereka akan melaksanakan mitigasi bagi menyelesaikan isu banjir kilat dan limpahan air berulang di kawasan Tol Bukit Jelutong serta terowong Jalan Pegaga U12/9.
Kata MBSA, isu banjir di kawasan tol itu, antara langkah penyelesaian segera telah dan akan dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan serta pembersihan parit sempadan antara MBSA dan kawasan tol Bukit Jelutong.
Soalnya kenapa selepas lima bulan apabila bencana itu berlaku, pihak berkenaan terus terkebil-kebil hendak menanganinya?
Adakah lepas ini kita akan dengar lagi soal perancangan jangka pendek dan jangka panjang, sedangkan hasil tidak pasti, apa yang pasti ialah banjir kilat berlaku, terperangkap dalam kenderaan dalam jangka lama sudah tentu! Fahamilah rakyat bukan mahu mendengar perancangan tetapi penyelesaian! Itu lebih penting.





