PN perlu bina imej kepimpinan inklusif sebelum cabar Anwar – penganalisis

KEUPAYAAN Perikatan Nasional (PN) mengetengahkan calon Perdana Menteri yang mampu mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya bergantung kepada populariti seseorang pemimpin, sebaliknya memerlukan pembinaan imej kepimpinan yang diterima masyarakat berbilang kaum, generasi dan latar belakang politik.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, gabungan itu sebenarnya mempunyai beberapa tokoh berpengalaman yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi kedudukan berkenaan.

DR Mohammad Tawfik Yaakub

Antaranya menurut beliau ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pemimpin berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri yang perlu diterjemahkan kepada penerimaan lebih luas di peringkat nasional.

“Saya melihat Dr Ahmad Samsuri dan Hamzah mempunyai kekuatan kepimpinan yang berbeza. Dr Ahmad Samsuri membawa imej teknokrat, profesional dan pengalaman mentadbir Terengganu manakala Hamzah mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta politik nasional.

“Namun, cabaran utama mereka terletak pada sejauh mana kepimpinan itu dapat diterjemahkan kepada imej nasional yang merentasi sempadan ideologi, kaum, generasi dan wilayah,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Menurut Mohammad Tawfik, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri turut diperkukuh oleh pengalaman politik yang panjang, penglibatan dalam diplomasi antarabangsa serta keterlihatan beliau dalam arena politik nasional.

Faktor itu menjadikan usaha pembangkang mencari tokoh yang mampu membina profil kepimpinan setanding satu cabaran tersendiri, khususnya dalam meyakinkan masyarakat mengenai keupayaan mereka menerajui negara.

Katanya, penilaian terhadap bakal calon Perdana Menteri tidak seharusnya tertumpu kepada daya tarikan peribadi atau karisma semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan mengurus sebuah negara majmuk.

“Bagi saya isu sebenar bukan sekadar siapa yang mempunyai karisma tetapi bagaimana seseorang tokoh memperlihatkan kebolehan memimpin negara majmuk, mengemukakan penyelesaian ekonomi yang meyakinkan dan berkomunikasi secara berkesan dengan generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan PN perlu mencapai kesepakatan mengenai identiti kepimpinan yang mahu diketengahkan kepada rakyat, sama ada berasaskan pengalaman pentadbiran, pendekatan teknokratik atau gabungan kedua-dua kelebihan tersebut.

Katanya, kesepakatan itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan mempunyai hala tuju kepimpinan yang jelas dan tidak hanya bergantung kepada kekuatan individu tertentu.

“Akhirnya saya fikir untuk menjadi calon Perdana Menteri perlu dinilai bukan berdasarkan populariti peribadi semata-mata tetapi juga keupayaan membentuk pasukan pentadbiran, menawarkan dasar yang jelas dan memperoleh kepercayaan masyarakat merentasi kelompok politik,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here