Hari Keluarga Embah Barnawi satukan enam generasi

KIRA-kira 350 ahli keluarga Embah Barnawi dijangka berhimpun dalam program Hari Keluarga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengenali susur galur keturunan yang menghubungkan enam generasi.

Program kali kedua yang membawa cogan kata ‘Menyemai Kasih Sayang, Menyubur Ikatan Keluarga Embah Barnawi’ itu dijadualkan berlangsung hari ini, selepas penganjuran sulung pada 17 Disember 2023 mendapat sambutan menggalakkan.

Wakil penganjur, Rasidah binti Md Ishak, 56, yang merupakan generasi keempat atau cicit kepada Allahyarham Barnawi Mustaram, berkata idea mengadakan perhimpunan itu pada asalnya dicetuskan oleh Allahyarham MD Ishak Salim dan Markamah Meskun yang juga cucu kepada Allahyarham Barnawi.

Katanya, kedua-dua individu berkenaan mahu melihat saudara-mara berkumpul di luar majlis perkahwinan supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain.

“Kalau berjumpa ketika kenduri, masing-masing biasanya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. Jadi, apabila hari keluarga dirancang lebih awal, ahli keluarga dapat meluangkan masa sehari untuk bersua muka dan berkenalan, terutama dengan saudara yang belum pernah ditemui.

“Kehadiran bagi perhimpunan kali ini dijangka melebihi jumlah berkenaan dengan ahli keluarga dari Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan beberapa daerah di Johor turut dijangka hadir,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Malah, katanya, ada ahli keluarga yang sanggup menyewa inap desa bagi membolehkan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah peti sejuk beku dan kipas angin, selain 50 hadiah lain, permainan berkumpulan serta acara bertukar-tukar hadiah.

Rasidah berkata, keistimewaan perhimpunan itu ialah peluang menghimpunkan keturunan Embah Barnawi sehingga enam generasi yang semakin sukar ditemukan dalam satu-satu masa.

Katanya, pertemuan melibatkan tiga atau empat generasi sahaja juga bukan sesuatu yang mudah diadakan, sekali gus menjadikan program berkenaan ruang penting untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.

Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana dapat mengenali susur galur keluarga yang besar, termasuk Hajah Ummi binti Mangon, menantu kepada Embah Barnawi yang kini berusia 100 tahun.

Dalam usaha memastikan generasi muda terus mengenali asal-usul keluarga, Rasidah berkata, ahli keluarga turut digalakkan mengadakan aktiviti ziarah-menziarahi sekurang-kurangnya setahun sekali, khususnya ketika Aidilfitri.

“Harapan saya agar hubungan ukhuwah antara anak cucu keluarga ini semakin erat dan perhimpunan seperti ini dapat diteruskan mengikut perancangan, iaitu dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here