Tiga rakyat Malaysia ditahan di Mauritius, 76kg ganja bernilai RM9.87 juta dirampas

TIGA rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan pihak berkuasa Mauritius selepas disyaki menyeludup 76.14 kilogram (kg) ganja ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA).

Dadah itu ditemukan dalam 70 bungkusan plastik yang disembunyikan di dalam bagasi ketiga-tiga suspek sebaik mereka tiba dari Dubai menggunakan penerbangan Emirates EK709.

Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan, suspek terdiri daripada dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dilakukan Seksyen Antinarkotik Kastam (CANS) selepas ketiga-tiga penumpang berkenaan dikenal pasti untuk pemeriksaan lanjut berdasarkan profil perjalanan dan hasil sesi soal jawab.

“Pemeriksaan menemukan 70 bungkusan plastik hitam berbentuk segi empat tepat yang dibungkus secara vakum, mengandungi bahan tumbuhan hijau disyaki ganja,” menurut kenyataan itu.

MRA memaklumkan, nilai rampasan berkenaan dianggarkan 114.21 juta rupee Mauritius, bersamaan kira-kira RM9.87 juta mengikut harga pasaran tempatan.

Kesemua bungkusan itu dirampas, manakala siasatan lanjut diserahkan kepada Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) Mauritius.

Sementara itu, media tempatan melaporkan siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan Thailand, dengan seorang daripada suspek dikatakan melalui negara itu sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai dan seterusnya ke Mauritius.

Lelaki berusia 30 tahun yang dilaporkan menetap dan bekerja sebagai pegawai keselamatan di Singapura dipercayai membawa kira-kira 10.9kg ganja.

Dua lagi suspek, iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 18 tahun yang dilaporkan tinggal bersama di Pulau Pinang, masing-masing membawa 32.5kg dan 32.6kg dadah berkenaan.

Penahanan terbaharu itu turut mengingatkan kepada kes hampir sama membabitkan seorang tukang masak rakyat Malaysia berusia 55 tahun yang ditahan di lapangan terbang sama pada 23 Oktober lalu.

Lelaki itu ditahan selepas pihak berkuasa menemukan 17.8kg ganja dalam bagasinya ketika tiba dari Dubai menggunakan penerbangan Emirates EK709, iaitu penerbangan sama yang dinaiki tiga suspek terbaharu pada 2 November lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here