SEORANG lelaki warga emas maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan berantai membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 61 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa berusia 82 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan sebuah kereta mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta pertama yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Gua Musang hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kereta kedua.
Menurutnya, impak pelanggaran itu menyebabkan kereta pertama turut merempuh kereta ketiga, sebelum kenderaan berkenaan melanggar bahagian belakang kereta keempat yang berada di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga penumpang hadapan sebelah kiri kereta pertama mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH.
Mazlan berkata, pemandu kereta pertama mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu serta penumpang tiga kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta pertama yang gagal mengawal kenderaannya ketika berada di barisan paling belakang.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya meningkatkan tahap kewaspadaan ketika memandu, terutama ketika jumlah kenderaan meningkat sempena cuti perayaan dan keadaan jalan menjadi licin akibat hujan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.





