Lelaki pernah tular kemalangan bawah pengaruh alkohol sekali lagi buat hal

SEORANG lelaki yang sebelum ini tular selepas terbabit kemalangan membabitkan beberapa kenderaan ketika dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol pada 22 Oktober lalu, sekali lagi terlibat dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Tanjung Ipoh, Kuala Pilah petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kereta dipandu lelaki berusia 39 tahun berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum kenderaan itu menggelongsor ke hadapan lalu merempuh sebuah lagi kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Bahau ketika kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap pemandu dan kenderaan itu menemukan bahan disyaki dadah jenis cecair MDMA serta Erimin 5.

“Lelaki ini adalah suspek sama yang terbabit dalam kemalangan pada 22 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan ketiga-tiga pemandu yang terlibat, namun semua kenderaan mengalami kerosakan.

“Kes ini disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan didakwa menghadapi empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah selepas kereta dipandunya secara berbahaya menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Tanjung Ipoh pada 22 Oktober lalu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here