SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila menyedari dirinya diintai seorang lelaki ketika menggunakan tandas di sebuah bangunan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.
Mangsa berusia 37 tahun itu segera menjerit sebelum mendapatkan bantuan suaminya selepas menyedari kelibat lelaki berkenaan mengintainya melalui ruang bahagian atas tandas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam tadi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa menyedari perbuatan lelaki terbabit ketika sedang menggunakan tandas berkenaan.
“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azwan berkata, pihaknya turut mengesan video berdurasi 24 saat yang memaparkan kejadian itu tular di platform media sosial Threads hari ini.
“Video berkenaan memaparkan beberapa individu tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang dipercayai mengintai di tandas wanita,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.





