Lelaki didakwa tipu enam individu RM782,380 dalam urusan francais, CEO dan Mercedes

SEORANG lelaki berdepan enam pertuduhan menipu membabitkan wang keseluruhan RM782,380 menerusi urusan pelaburan francais minuman, tawaran pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta jual beli kereta mewah antara 2022 hingga 2023.

Bagaimanapun, Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan dua Majistret, Eliana Ismail dan Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

Di Mahkamah Majistret 2, tertuduh menghadapi tiga pertuduhan membabitkan jumlah RM450,540.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Nurbahiyah Md Salleh dengan memperdayakan wanita itu supaya menyerahkan RM83,500 sebagai modal perniagaan francais minuman yang didakwa tidak wujud, antara 28 Mac hingga 15 April 2023.

Dia turut didakwa memperdayakan Noor Ashikin Yusoff sehingga menyerahkan RM362,000 bagi tujuan sama, antara 9 Mei hingga 13 Jun 2023.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyerahkan sekeping cek tidak laku bernilai RM5,040 kepada Mohd Syahid Qayyum Zahkai sebagai bayaran pembelian 500 cawan minuman yang kononnya untuk disumbangkan kepada beberapa premis dan sekolah sekitar Alor Setar, pada 12 Ogos 2023.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan membabitkan jumlah RM331,840.

Dia didakwa menipu Mazita Che Omar dengan memperdayakan wanita itu supaya menyerahkan RM250,500 sebagai modal perniagaan francais minuman yang didakwa tidak wujud, antara 1 Januari hingga 24 Mac 2023.

Tertuduh juga didakwa memperdayakan Nidzomuddin Ismail supaya menyerahkan RM55,000 menerusi tawaran pelantikan sebagai CEO dan pelaburan dalam sebuah syarikat yang didakwa tidak wujud, antara 27 Ogos hingga 1 September 2023 di Ampang Business Centre, Alor Setar.

Satu lagi pertuduhan membabitkan dakwaan menipu Ahmad Akashah Mohamed dalam urusan penjualan kereta Mercedes model Indonesia sehingga mangsa menyerahkan RM26,340, antara 17 hingga 28 Mac 2022 di cawangan Maybank Alor Setar, Kota Setar.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, lapor Buletin TV3.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Zakri Che Idris manakala di Mahkamah Majistret 3 oleh Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar.

Tertuduh diwakili peguam Ainunhawa Azhar di kedua-dua mahkamah.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 3, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan pertama kerana tertuduh turut berdepan lima pertuduhan lain.

Bagaimanapun, pendakwaan memohon supaya syarat tambahan dikenakan agar tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa sekiranya jaminan dibenarkan.

Peguam Ainunhawa pula merayu supaya mahkamah mengenakan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau berkata, anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga anak berusia 25, 20 dan 18 tahun yang masih belajar.

“Anak bongsunya juga menghidap kencing manis tahap dua, manakala anak sulungnya hadir dari Melaka untuk menjadi penjamin,” katanya ketika prosiding.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM24,000.

Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here