POLIS menumpaskan 112 sindiket penipuan yang beroperasi menerusi pusat panggilan dalam talian dalam tempoh 13 hari menerusi Op Magpie 01/2026 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Operasi itu menyaksikan sebanyak 932 individu ditahan menerusi 153 serbuan, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 100 serbuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 826 adalah warga asing manakala 106 lagi rakyat Malaysia.
Menurutnya, tangkapan membabitkan 796 lelaki dan 136 wanita hasil tindakan bersepadu JSJK Bukit Aman bersama kontinjen polis seluruh negara.
“Warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan 538 individu, diikuti Vietnam (93), Taiwan (40), Indonesia (36), Jepun (21), Pakistan (18), Myanmar dan Filipina masing-masing 14 orang,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, selain serbuan, sebanyak 650 pemeriksaan premis secara proaktif turut dilaksanakan sepanjang operasi berkenaan.
Daripada keseluruhan serbuan, sebanyak 106 atau 69.28 peratus dilakukan di kondominium, diikuti 34 premis perumahan, lapan resort atau hotel serta lima lokasi membabitkan bangunan pejabat, rumah kedai dan gudang.
Rusdi berkata, analisis awal turut mengenal pasti 136 rekod modus operandi penipuan dengan pelaburan tidak wujud dan love scam masing-masing mencatatkan 27 rekod.
Ia diikuti phone scam (25), judi dalam talian (16) serta tawaran kerja tidak wujud (11).
Menurutnya, sindiket terbabit turut menyasarkan mangsa di luar negara apabila 130 daripada 144 rekod sasaran negara membabitkan individu di luar Malaysia, manakala 14 lagi di dalam negara.
“China mencatatkan sasaran tertinggi dengan 62 rekod, diikuti Amerika Syarikat (12), Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh serta Jepun dan Hong Kong SAR masing-masing enam kes,” katanya.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 2,058 telefon bimbit, 433 komputer riba atau tablet, 161 komputer atau monitor, 112 router atau modem, 40 pasport atau visa serta tujuh kenderaan.
Selain itu, wang tunai berjumlah RM102,635 turut dirampas bersama pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan sindiket berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 117 kertas siasatan dibuka hasil operasi itu, dengan 70 masih dalam siasatan manakala 45 sudah dibawa ke peringkat pertuduhan di mahkamah.
Katanya, daripada keseluruhan individu ditahan, seramai 809 dikenal pasti berperanan sebagai khidmat pelanggan atau operator, manakala 70 lagi bertindak sebagai penyelia atau ketua kumpulan.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama, penyelaras operasi dan pihak yang menguruskan kewangan serta menyediakan kemudahan kepada sindiket, termasuk melalui analisis forensik digital, rekod komunikasi dan transaksi kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan, mesej atau tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali serta tidak mendedahkan maklumat perbankan, kata laluan, OTP atau TAC.
Mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.





