POLIS Selangor sedang menunggu keputusan pihak pendakwaan berhubung 15 lagi kes penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit (ADC) Raja Muda Selangor bagi memperdaya mangsa dalam urusan jual beli kenderaan dan hartanah tidak wujud.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan bagi kesemua 15 kes itu sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan lanjut.
Menurutnya, sebanyak 17 laporan diterima di Selangor berhubung kegiatan suspek yang didakwa menyamar sebagai wakil Raja Muda Selangor serta menggunakan gambar baginda bagi meyakinkan mangsa bahawa urusan ditawarkan adalah sah.
“Kesemua 17 kertas siasatan telah selesai dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kita kini menunggu arahan lanjut bagi baki 15 kes lagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kira-kira 27 kes dikesan di seluruh negara dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM1.4 juta.
Katanya, dua suspek utama, masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan, sudah didakwa berhubung kegiatan penipuan berkenaan.
“Pada 11 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mendakwa kedua-dua suspek mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam atas pertuduhan bersubahat dan menipu, sebelum turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan seorang lagi mangsa.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 420, tertuduh boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda.
Shazeli berkata, siasatan bagi kes di Selangor dianggap selesai, manakala tindakan lanjut bagi baki kes bergantung kepada keputusan pihak pendakwaan.
Beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan suspek dihadapkan ke mahkamah.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap individu yang mendakwa mewakili kerabat diraja atau golongan kenamaan, khususnya dalam urusan jual beli kenderaan dan hartanah.
Terdahulu, Pejabat Istana Selangor pada bulan lalu memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung seorang individu yang menyamar sebagai pengawal peribadi Raja Muda Selangor bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai dalam urusan jual beli tanah dan kereta mewah.
Pihak istana turut memaklumkan laporan polis sudah dibuat terhadap individu berkenaan serta menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan itu.




