ANGGOTA polis perlu menilai keadaan di lokasi kejadian terlebih dahulu sebelum melepaskan tembakan, khususnya di kawasan sempit yang turut menempatkan orang awam dan anggota agensi lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, walaupun prosedur operasi standard (SOP) disediakan sebagai panduan, keputusan akhir mengenai tindakan yang perlu diambil bergantung kepada penilaian anggota yang berdepan situasi berkenaan.
“Perkara ini penting khususnya dalam situasi yang memerlukan anggota kita membuat keputusan segera dan tepat ketika berdepan ancaman serangan secara langsung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor BH.
Beliau diminta mengulas insiden serangan terhadap Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang ketika operasi di sebuah pangsapuri di Kepong, Rabu lalu.
Menurut Shazeli, keadaan premis yang sempit serta kehadiran anggota daripada beberapa agensi lain ketika kejadian menjadi antara faktor yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan tindakan balas terhadap ancaman.
Katanya, SOP tidak dapat merangkumi setiap kemungkinan situasi sepanjang operasi, justeru anggota perlu membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa dan latihan yang diterima.
Mengulas keperluan latihan tambahan, beliau berkata anggota polis menjalani kursus ulang kaji serta latihan dalam perkhidmatan secara berkala setiap tahun membabitkan semua unit.
“Kursus ulang kaji dan sesi latihan ini berjalan secara berterusan. Kita tidak menunggu insiden sebegini berlaku barulah latihan hendak dijalankan, malah pelbagai senario turut diterapkan bagi mempersiapkan anggota,” katanya.
Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar serangan berkenaan.
Dalam pada itu, anggota yang cedera dilaporkan stabil dan sedang pulih selepas menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Suspek yang menetak anggota polis itu maut selepas ditembak ketika cuba diberkas berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, antara jam 7.30 hingga 8 malam kelmarin.
Suspek dilaporkan sekali lagi bertindak agresif dengan menyerang polis menggunakan parang sebelum anggota melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menahannya.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.





