PEGUAM yang mewakili pelawak dan pelakon, Harith Iskander dalam kes saman fitnah difailkan Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk menarik diri daripada mewakili selebriti itu.
Perkara itu disahkan peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata, peguam yang mengemukakan permohonan berkenaan ialah Sangeet Kaur Deo.
Sangeet ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya memohon untuk menarik diri daripada mewakili Harith.
“Ya, kami memohon untuk menarik diri daripada mewakili (Harith Iskander),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Mahkamah menetapkan 24 November ini bagi pendengaran permohonan tersebut.
Pada 9 Jun lalu, Rosmah, 75, memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak dengan menamakan Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Rosmah mendakwa Harith membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya ketika persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di sebuah hotel pada 17 Januari lalu.
Beliau mendakwa defendan memaparkan imej dirinya selepas menunjukkan gambar makhluk seram dalam kepercayaan masyarakat tempatan seperti toyol, pontianak dan pocong, selain mengaitkannya dengan sesuatu yang menakutkan.
Rosmah turut mendakwa persembahan itu dirakam dan dimuat naik ke TikTok oleh seorang pengguna dikenali sebagai @mayychan0303 menerusi dua video yang masing-masing meraih 219,700 dan 12,500 tontonan.
Menurut plaintif, kenyataan berkenaan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta menghinanya melalui unsur kecaman fizikal atau body shaming.
Sehubungan itu, Rosmah menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyebarkan semula kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Beliau turut memohon permohonan maaf tanpa syarat serta penarikan balik kenyataan berkenaan secara bertulis dalam dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial yang ditentukan plaintif atau peguamnya.
Bagaimanapun, dalam pernyataan pembelaannya, Harith menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah sebagai makhluk seram atau sesuatu yang menakutkan, selain menolak dakwaan bahawa persembahan itu membawa maksud fitnah seperti dinyatakan plaintif.
Harith turut mendakwa video yang dimuat naik ke TikTok itu diterbitkan tanpa pengetahuan atau persetujuannya dan tidak memaparkan konteks penuh persembahan komedi berkenaan.




