SEORANG operator kilang berusia 41 tahun menanggung kerugian selepas rumah dan kenderaan miliknya disimbah cat merah oleh suspek pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along yang tersalah sasaran di Taman Sepilai di Kulim semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, perbuatan khianat itu dipercayai bermotifkan ugutan berkaitan hutang along.

Katanya, pengadu menyedari kejadian itu ketika pulang ke rumahnya sebelum mendapati pintu pagar serta kereta miliknya telah disimbah cat merah kira-kira jam 7.30 pagi.
“Pengadu menemukan sekeping kertas mengandungi ugutan untuk membakar rumah sekiranya individu yang dinamakan dalam kertas itu tidak menghubungi seorang lelaki bagi menyelesaikan urusan yang tidak dinyatakan.
“Dia turut menafikan mempunyai sebarang hutang dengan pihak pemberi pinjaman wang dan mengesyaki kejadian berpunca daripada kesilapan sasaran memandangkan individu yang dinamakan dalam nota ugutan merupakan jirannya,” katanya hari ini.
Tambah Syamsul, kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 malam pada 15 November hingga 7.30 pagi semalam ketika pengadu tiada di rumah.
Beliau berkata, tiada saksi bebas atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat membantu siasatan setakat ini.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang dinamakan dalam nota ugutan serta mengesahkan kaitannya dengan kejadian terbabit,” katanya.





