KERAJAAN negeri Perak hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbirannya yang akan dibayar sepenuhnya pada 22 Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan berkenaan merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan dedikasi penjawat awam dalam memastikan urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan dengan baik.
Beliau berkata, sumbangan penjawat awam amat penting kerana mereka bukan sahaja menguruskan pelbagai urusan rakyat, malah turut berperanan secara langsung dalam menyantuni masyarakat di lapangan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Ada yang memastikan urusan rakyat diselesaikan, ada yang turun ke lapangan menyantuni masyarakat dan ada yang terus memikul amanah walaupun berhadapan pelbagai cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri Perak, hari ini, lapor Buletin TV3.
Pemberian BKK dua bulan gaji itu turut meliputi Ahli Ex-Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), guru lantikan negeri menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak serta Orang Besar Jajahan.
Turut menerima manfaat ialah pegawai yang dilantik secara Contract for Service dan kakitangan di bawah program kontrak MySTEP.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri menyediakan BKK sebanyak RM600 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung Baru India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
Bantuan sebanyak RM400 pula diperuntukkan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru I’dadi dan Thanawi serta Guru Aiman dan Guru Agama Dakwah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Selain itu, semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Yang Dipertua Dewan Negeri turut menerima BKK bersamaan dua bulan elaun dengan jumlah keseluruhan RM20,000.
Bayaran bantuan kepada penerima berkenaan dijadualkan dibuat pada Januari 2027.





