Pengarah syarikat rugi RM128,700 diperdaya tender palsu perabot kantin

SEORANG pengarah syarikat mendakwa kerugian RM128,700 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran tender pembekalan meja dan kerusi kantin jenis keluli tahan karat di sebuah Kolej Vokasional, baru-baru ini.

Mangsa berusia awal 30-an membuat laporan polis kira-kira jam 5.45 petang semalam selepas menyedari tawaran tender berkenaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai bermula Isnin lalu apabila mangsa dimaklumkan rakan sekerjanya mengenai peluang membekalkan perabot kantin kepada kolej berkenaan.

Katanya, mangsa kemudian bersetuju menerima tawaran itu daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Ismail Jusoh dan mendakwa bertugas sebagai pegawai kolej terbabit.

Mangsa seterusnya menghubungi seorang pembekal dikenali sebagai Mr Leong menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp bagi membincangkan urusan pembekalan berkenaan.

“Hasil rundingan, mangsa membuat tiga transaksi antara 24 dan 25 November lalu berjumlah RM128,700 ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat sebagai bayaran deposit 40 peratus daripada nilai keseluruhan tender sebanyak RM242,000,” katanya.

Azli berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya diperdaya selepas membuat semakan dengan pihak pengurusan kolej berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang bertemu penolong pengarah kolej itu dimaklumkan bahawa individu menggunakan nama Ismail Jusoh tidak wujud dalam rekod institusi berkenaan.

Mangsa kemudian menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dengan kerugian keseluruhan RM128,700.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi membuat pembayaran itu adalah milik syarikat mangsa.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here